Ahad, 5 Februari 2012

Wawa Mengemis Cinta Sam?



“KITA bercinta kan?” usik Shaheizy Sam kepada Wawa Zainal ketika Kosmo! meminta kedua-dua pelakon itu bergambar bersama-sama ketika kebetulan ditemui di majlis Kesyukuran dan Gong Xi Fa Chai Metrowealth Pictures (MIG) 2011/12 di Hotel Sunway Lagoon Resort, Bandar Sunway, Selangor baru-baru ini.
Usikan itu ada maknanya. Ketika kedua-duanya ditarik ke tepi, mereka sudah mengagak ada maksud tersirat untuk menggandingkan mereka berdua dalam satu sesi fotografi ringkas ketika acara sedang berlangsung.
Mana tidaknya, beberapa minggu sebelum ini Wawa, bintang filem Sumpahan Kum Kum yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh tanah air digosipkan sedang bercinta dengan pelakon terkenal serba boleh, Sam.
Belum apa-apa lagi, Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 20, yang masih hijau dalam arena perfileman tanah air sudah berani mencetuskan ruang kontroversinya sendiri.
Sebelum khabar angin mengenai hubungannya dan Sam bertiup, kisahnya yang tanpa segan silu bergambar seksi sudah kencang melanda industri tanah air.
Bagi Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 28, perkara itu sekadar gosip yang dicanangkan tanpa bertanya pucuk pangkalnya daripada sumber yang sahih iaitu empunya diri.
“Wawa yang dimaksudkan itu bukan Wawa Zainal, itu adalah bekas teman wanita saya Tengku Putri Najwa yang telah saya kenali pada tahun 2005 tapi kami berpisah dua tahun berikutnya. Mungkin orang terkeliru dengan nama itu,” jelas Sam.
Walau sudah tiada sebarang hubungan antaranya dan Wawa, mereka masih rapat antara keluarga masing-masing. Sam bagaimanapun tidak menafikan dia terkejut dengan khabar angin yang sama sekali tidak tepat itu.
“Saya pada mula-mulanya terkejut dengan gosip yang mengaitkan saya dengan Wawa. Kenapa tak tanya dulu sebelum nak menulis? Tapi, saya tidak salahkan sesiapa. Itu kerja mereka sebagai seorang penulis.
“Saya harap peminat faham situasi begini dan perkara itu cuma khabar angin. Lainlah kalau digosipkan dengan Yana Shamsudin, sebab dia memang pelakon paling rapat dengan saya,” tambah pelakon yang sedang sibuk mempromosikan filem sekuel terbaharunya, Adnan Sempit 2.-maklumat.my

Tiada ulasan: